Thursday, April 13, 2017

UEC: Jangan Takrif Dengan Emosi!

Image result for Annuar Musa

Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini, ia sijil peperiksaan yang dilaksanakan di 60 buah sekolah persendirian cina. Yakni Sekolah-sekolah persendirian yang bernaung di bawah satu gabungan yang dikenali sebagai Dong Zong. 

Mendengar saja nama Dong Zong, bagai taboo dikalangan masyarakat terutama pro kerajaan. Ini berikutan beberapa siri tindakan Dong Zong terlalu berkeras dan mencabar dasar-dasar kerajaan yang tidak selari dengan sistem pendidikan persendirian mereka.



UEC kembali panas kali ini berikutan kenyataan Tan Sri Annuar Musa (TSAM) yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa cina. Kemudian diikuti dengan lawatan ke Dong Zong dan seterusnya membawa isu UEC ini ke Parlimen untuk dibahas.

Berita kaitan TSAM dengan UEC dan Dong Zong ini pantas tular di platfom FB, twitter dan forum. Respon pro kerajaan dan NGO begitu keras mengkritik tindakan TSAM dengan pelbagai tohmahan dan cacian. 

Pelbagai gelaran timbul seperti, pengkhianat, dituduh melutut kepada Dong Zong, dituduh bermati-matian mempertahankan UEC, tidak faham perlembagaan, tidak faham dasar pendidikan dan macam-macam lagi.Hakikatnya hujahan yang mereka zahirkan datang dari maklumat separuh-separuh dan terpandu dengan emosi amarah semata-mata. 

Janganlah kita terlalu gelojoh menjatuhkan hukum tanpa memahami dan menyiasat. Kerana bila diteliti, kenyataan TSAM dalam wawancara ekslusif tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh akhbar cina dalam artikel bertarikh 13 Mac. Walhal penjelasan dalam wawancara menyentuh panjang lebar mengenai MARA dan bola sepak tetapi hanya UEC yang disensasikan. 

Lawatan ke Dong Zong, TSAM jelas menyebut kehadirannya adalah atas kapasiti peribadi, dengan mendapat izin dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Ia hanyalah sesi perbincangan bagi mendapatkan penjelasan dan memberi pandangan. Tidak timbul soal melutut kepada Dong Zong, kerana TSAM dalam sesi perjumpaan tersebut dengan tegas menyarankan supaya pematuhan dibuat jika berkehendakkan pengiktirafan. 

Ada pula tuduhan perjumpaan tersebut adalah bagi mengiktiraf UEC. TAK MASUK AKAL! Kerana keputusan mengiktiraf atau tidak hanya boleh dibuat oleh Kementerian Pendidikan, Kabinet dan Parlimen. Bukan oleh seorang Ketua Penerangan Parti. 

Bila TSAM membawa UEC ke Dewan Rakyat, sekali lagi ia dijadikan modal untuk menyerang beliau. Sedangkan Dewan Rakyatlah tempat yang paling tepat untuk membahaskan dan membincangkan perkara ini. Kerana semua pemimpin yang mewakili rakyat ada bersama untuk melontarkan pandangan dan pendapat. 

Soal siapa membawanya bukanlah isu, kerana UMNO yang menerajui kepimpinan negara sememangnya sejak dari dulu telah memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum. Bukan hanya orang Melayu!

No comments: