Friday, November 28, 2008

Fatwa Di Perlekeh Si Selekeh


Tertarik apabila membaca di dada akhbar, media elektronik dan artikel-artikel bloggers mengenai isu yoga. Ini bermula apabila Majlis Fatwa Kebangsaan yang terdiri dikalangan pakar-pakar ilmuan perundangan dan hukum Islam telah sebulat suara menyatakan amalan YOGA itu haram. Tapi dengan pantas pula di bidas oleh segelintir NGO yang tidak mengkaji mendalam tentang apa itu FATWA serta tujuannya.

Paling asas yang perlu diketahui adalah Fatwa dikeluarkan untuk Umat ISLAM. Mengapa sekarang kita lihat apabila fatwa dikeluarkan, ada pula bukan Islam yang melatah dan membantah. Seperti isu Pengkid sebelum ini, segelintir bukan Islam telah melakukan demonstrasi memprotes Fatwa pengharaman Pengkid. Kita umat Islam yang melihat pun merasa hairan, apa pasal dia orang pula melebih-lebih. Kemungkinan besar mereka kurang faham erti fatwa ini.

Di Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) perlu melalui satu proses yang panjang sebelum Fatwa dikeluarkan. Ia bukan semudah dengan hanya "lat-ta-li-lat" , "one 2 jus" atau "ku-chi-pak" untuk memutuskan sesatu fatwa. Kalau semudah itu, saya akan paham mengapa orang akan mempertikaikan keputusan MFK.

Proses mengeluarkan fatwa bermula, apabila timbul sesuatu isu baru yang menimbulkan keraguan mengenai hukumnya di dalam Islam. Keraguan dari segi hukum halal, haram, wajib, harus dan sunat tentang sesuatu perkara. Maka perbincangan lanjut bagi menghuraikan perkara tersebut harus dilaksanakan.

Peringkat awalnya Jabatan Mufti negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bermusyawarah (bermesyuarat) bagi memperbincangkan isu baru yang telah dibangkitkan. Dalam perbincangan tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa akan mengundang para ilmuan cendekiawan dan pakar-pakar bagi mencari penyelesaian. Malah di dalam Jawatankuasa fatwa itu sendiri, adalah terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang merupakan pelapis untuk di masa akan datang.

Sebagai contoh baru-baru ini mengenai isu yoga, MFK telah berbincang selama 2 hari. Saya difahamkan, itu adalah hari perbincangan rasmi. Sebelum bermulanya perbincangan rasmi tersebut. Mereka yang terdiri dari pada para ulama , ilmuan dan cendekiawan telah berbincang serta mentelaah terlebih dahulu bagi mengumpul bahan-bahan kajian mengenai yoga dan impak terhadap umat Islam dari sudut Sunnah dan Al-Quran. Dalil-dalil dan nas juga akan disertakan bagi menyokong hujahan mereka nanti. Semua ini penting bagi menyiapkan diri dari semua aspek supaya dapat memahami intipati perbincangan itu nanti

Sekali lagi diingatkan bahawa barisan panel MFK ini terdiri daripada pakar-pakar perundangan dan ilmuan Islam. Mereka tidak datang berbincang dengan tangan dan hati yang kosong. Tidak sempurna perbincangan itu nanti jika isu yang dibangkitkan tidak difahami, dialami dan diteliti mengikut sudut Al-Quran dan Sunnah. Ini bukan perbincangan seperti ala kedai kopi yang penuh dengan gurau senda atau gelak tawa. Ini mengenai hukum-hakam bagi mencari jawapan kepada isu-isu baru.


Gambar rajah dibawah adalah proses-proses dalam mengeluarkan sesuatu fatwa.


Yang sedihnya ada juga NGO dan individu yang mempertikaikan fatwa pengharaman yoga ini. Tiba-tiba ramai pula ahli perniagaan, doktor dan lain-lain muncul sebagai pakar dalam Agama Islam. Menyatakan MFK telah silap menghuraikan isu yoga. Mulalah membuka kitab menyuarakan dalil-dalil dan nas bagi mempertahankan kedudukan mereka. Ramai pula 'ulama baru' lahir dalam menentukan fatwa yoga ini.

Sememangnya MFK yang terdiri daripada para ulama, ahli kitab, cendekiawan dan ilmuan ini telah mengkaji seluruh aspek Islam lebih mendalam daripada kamu yang sedang membaca ini. Tetapi masih juga diperlekehkan oleh mereka yang cetek dan selekeh keperibadiannya. Mereka yang hanya bersuara menampakkan pangkat dan darjat luaran namun hakikatnya selekeh iman dan amalan.

Kepada umat Islam yang membantah janganlah kita melihat dari satu sudut sahaja. Fahami dan selami kenapa fatwa ini dikeluarkan. Saya dapati majoriti yang bersuara menghentam MFK ini tidak mencari penjelasan terperinci mengenainya. Hukum Islam ini bukan boleh dibuat mengikut andaian sahaja dalam menentukan Halal dan Haram. Sekadar logik atau 'common sense' juga tidak memadai. Jika ragu-ragu merujuklah kepada yang lebih arif.

Kepada bukan Islam, diharap tidak lagi secara membuta tuli menghentam dan memprotes tanpa usul periksa. Kerana ini isu agama Islam, isu yang sensitif. Terutama mengenai Fatwa yang saya lihat ada yang membantah, walhal tidak tahu apa itu Fatwa.

Sekarang timbul pula kekeliruan didalam fatwa pengharaman yoga ini. Mengikut kefahaman saya, MFK telah mengharamkan yoga secara keseluruhannya. Tapi dikalangan pemimpin pula ada mengatakan tidak haram jika tiada unsur pemujaan hindu dan bacaan mantera dilakukan. Dua pendapat berbeza ini mengelirukan masyarakat Islam. Diharap MFK dapat memperincikan lagi mengenai fatwa ini. Supaya kesepakatan diantara MFK dan pemimpin dapat dicapai.

Lebih lanjut:

http://demoloni.wordpress.com/2008/11/26/fatwa-pengharaman-yoga-dipertikai-salah-siapa/


**segala pandangan dan pembetulan dalam artikel ini adalah amat dialu-alukan**

Thursday, November 13, 2008

Nilai Sebenar USD!

Kelembapan ekonomi dunia jelas terasa. Menurut pakar ekonomi situasi begini akan berterusan sehingga penghujung 2011. Perkara ini telah pun menampakkan kesan sejak US mengamalkan dasar luarnya dalam menangani isu-isu di Afghanistan, Iraq, Iran dan Palestin. Empat negara Islam yang telah menjadi sasaran US sama ada secara menyeluruh atau tidak. Namun sekarang tiga negara telah pun lumpuh kredibilitinya di mata dunia.

Mengapa saya mengatakan isu itu menjadi punca kemelesetan ekonomi kini. Jangan salah faham, ia bukan satu-satunya punca tapi ia merupakan salah satu punca. Saya akan nyatakan satu persatu dimana anda akan mula memahami situasi dan nilai sebenar USD.

Peristiwa keruntuhan World Trade Center di New York telah menjadi alasan untuk US memulakan operasi ketenteraan secara besar-besaran memerangi pengganas. Peristiwa itu juga telah mengubah pola kewangan Amerika dimana bajet tambahan USD170 billion telah diperuntukan kepada Bahagian Pertahanan (Department of Defense) hanya untuk peperangan di Afghanistan dan Iraq. Menurut sumber, perbelanjaan tahunan Amerika pada tahun 2007 dalam ketenteraan dan pertahanan sahaja adalah sebanyak USD1 trillion!. Nilainya tidak terhenti disitu, kerana ia meningkat dari tahun ke tahun.

USD1 trillion itu disalurkan bagi membangunkan struktur dan kelengkapan ketenteraan dari segi senjata, latihan, perubatan dan kajian. Pada waktu itu jika anda perasan, permintaan komoditi dunia meningkat dengan mendadak. Harga bahan mentah seperti bijih timah dan minyak melonjak tinggi. Sebelum 2003 harga minyak dunia adalah dibawah USD60 setong. Sejak US menceroboh Iraq sehingga penghujung 2007, harga minyak terus meningkat kepada USD95 setong. Ini adalah kerana bahagian pertahanan US sedang memborong besar-besaran minyak dunia sebagai bekalan bagi peperangan tahyul mereka.

Statistik Harga Minyak Dunia
Ada juga berpendapat bahawa minyak melonjak naik kerana permintaan yang semakin meningkat di negara-negara kuasa ekonomi baru seperti China dan India. Sebahagiannya betul namun ia telah diburukkan lagi dengan dasar ketenteraan US. Selepas perang di Iraq, timbul pula ketegangan antara US dengan Iran. US yang jelas Dewan Senatnya terdiri daripada Yahudi telah menuduh Iran menghasilkan senjata pemusnah. Orang Yahudi telah berjaya memanipulasi ketenteraan US bagi memusnahkan Afghanistan dan Iraq. Kini mereka ingin melakukan perkara yang sama terhadap Iran. Ini bermula apabila Presidennya Mahmoud Ahmadinejad mengeluarkan kenyataan bahawa negara Israel mesti dihapuskan dari peta dunia.

Sejak ketengangan bermula, dua negara ini berlumba menghasilkan senjata. Dimana masing-masing mempunyai kelebihan seperti US dari segi senjata berteknologi tinggi manakala Iran sumber minyaknya. Disebabkan itu, US telah meningkatkan kapasiti simpanan minyak untuk ketenteraannya bagi menghadapi kemungkinan menyerang Iran.

Peningkatan pemintaan minyak dari US telah menyebabkan harga minyak pada awal Januari 2008 naik kepada USD97 setong dan terus meningkat ke paras tertinggi USD145 setong pada bulan Julai tahun yang sama. Apabila bekalan minyak mencukupi, mereka telah mengurangkan pembelian minyak kepada asal. Iaitu cukup sekadar permintaan industri dan pengguna US sahaja. Pengurangan permintaan minyak tersebut telah menyebabkan harga minyak merudum kepada harga sekarang ini iaitu USD62 setong (7 nov 2008).

Kesan peningkatan dan penurunan harga minyak yang cepat tidak sampai setahun ini telah mendatangkan impak negatif kepada nilai transaksi jualan minyak seluruh dunia. Kerugian berbillion dolar telah direkodkan dan US yang menjadi peranan kepada harga minyak juga turut terima padahnya. Jadi Bajet US sebanyak USD1 trillion itu tadi telah ditambah lagi bagi menampung kerugian kesan dari peningkatan dan penurunan harga minyak yang mendadak.

Ini baru menyentuh transaksi minyak. Jangan lupa! komoditi lain juga turut terjejas kerana minyak ini ibarat Raja Domino yang membawa kepada naik dan turunnya harga barangan lain. Maka dunia sekali lagi terpaksa menampung kerugian ber-trillion dolar berikutan kerugian transaksi keseluruhan komoditi dunia sepanjang tahun.

Kesan naik dan turun harga komoditi yang terlalu cepat telah menjadikan jumlah pengeluaran dan permintaan berkecamuk! Kecelaruan ini perlahan-lahan menjatuhkan nilai matawang dan meningkatkan hutang dalaman sesebuah negara! Rentak transaksi jual beli dalam pasaran mula menjadi perlahan. Industri US yang merupakan kuasa pembeli utama telah mengurangkan pembelian bahan-bahan mentah kerana sikap menunggu kebanyakan industri US terhadap harga komoditi dunia. Kurangnya permintaan akan menjatuhkan harga bahan! Semua nilai saham mula merosot dengan banyaknya, kejatuhan ini telah mengusarkan pelabur yang terus bertindak membawa keluar nilai aset pelaburan mereka. Ini mengeruhkan lagi pasaran saham dunia terutamanya US kerana suntikan kewangan pelaburan telah menguncup.

Pelaburan yang berkurangan telah mendatangkan bencana kepada institusi kewangan dan institusi hartanah/perumahan US. Pada 15 September 2008 Lehman Brothers Holdings sebuah institusi pelaburan berusia 158 tahun telah diishtihar muflis yang merupakan kegagalan paling buruk dalam sejarah kewangan US iaitu kerugian sebanyak USD600 billion. Bank Washington Mutual, bank keenam terbesar Amerika juga menerima nasib yang sama. Syarikat Automotif seperti General Motors, Ford dan Chrysler kini turut menunjukkan tanda-tanda menjerumus kearah kejatuhan. Berpuluh syarikat gergasi bakal muflis jika perkara ini berterusan.

Kesinambungan dari ekonomi US yang goyah telah menyebabkan banyak negara di dunia mengalami kegagalan. Paling ketara ialah Iceland, merupakan negara pertama diisytiharkan muflis. Bagaimana ini boleh berlaku? Negara diisytihar muflis?. Setelah diisytihar muflis rakyatnya tidak boleh berbuat apa-apa kerana akaun telah dibekukan. Tiada lagi transaksi perdagangan dalam negara. Inilah kenyataan mengenai ekonomi dunia sekarang. Malaysia juga diancam bahaya kemelesetan ekonomi dunia ini. Tindakan drastik perlu di ambil bagi menangani masalah dunia ini.

Mengapa banyak negara ikut sama jatuh apabila ekonomi US jatuh?

Ini adalah kerana mata wang kebanyakan negara termasuk Malaysia bersandarkan kepada USD!. Inilah dia keburukan yang paling nyata dalam perdagangan antarabangsa. Matawang USD ini telah dijadikan satu bahasa transaksi utama perdagangan dunia. Dan apabila mengalami kegagalan, negara yang bersandarkan kepadanya akan ikut merana.

Mengapa Malaysia bersandarkan kepada USD?


Menurut sumber, sebelum tahun 1960 matawang USD bersandarkan kepada EMAS. Emas yang telah disimpan di 'Fort Knox' dijadikan sandaran dan penanda aras kepada mata wang USD ini. Dalam Islam juga ada menyatakan bahawa emas merupakan medium transaksi jual beli yang paling stabil. Dari zaman dulu lagi emas telah dijadikan matawang utama perdagangan. Ada direkodkan harga ayam hidup pada masa itu adalah berharga satu dirham emas. Namun selepas 1000 tahun harga ayam hidup tersebut masih berharga satu dirham emas! Cuba anda bayangkan harga sesuatu barangan boleh kekal walaupun selepas 1000 tahun. Kita sekarang pun tak sampai sehari pengumuman kenaikkan minyak terus melonjak harga bahan makanan negara. Memang tidak dapat disangkal lagi kestabilan emas sebagai matawang dalam perniagaan. Disebabkan itu Malaysia bersandarkan kepada USD yang mana sememangnya bersandarkan kepada emas pada ketika itu.


Fort Knox

Selepas 1960, Amerika merubah dasarnya apabila tidak mahu lagi bersandarkan kepada emas. Mereka mahu USD bersandarkan kepada "supply and demand". Sejak perubahan dasar inilah matawang USD tidak lagi stabil seperti dulu. Kesannya Malaysia yang bersandarkan kepada USD juga menjadi tidak stabil. Pelbagai masalah mula timbul dari perubahan ini. Banyak exploitasi dan manipulasi matawang sesebuah negara berlaku. Seperti George Soros memanipulasikan Ringgit Malaysia yang menyebabkan negara mengalami krisis kewangan pada 1997.

Jika dulu bersandarkan kepada Emas, yang mempunyai nilai tetap dalam pasaran, kini bersandarkan kepada "pengeluaran dan permintaan" perdagangan antarabangsa. Di mana tiada nilai yang boleh ditetapkan untuk sadaran jenis ini. Ini menyebabkan nilai sebenar USD kini tidak ubah 'sekadar kertas dan dakwat sahaja'. Iaitu 20sen! Tidak kiralah apa nilai yang tertulis di atas matawang USD samaada USD50 atau USD100. Nilai sebenar matawang tersebut hanyalah 20sen! Atau kurang dari itu! Itulah maksudnya!


Jadi kini Malaysia bersandarkan kepada USD! Apa nilai sebenar matawang Ringgit Malaysia!!?!!
Selepas beberapa kali kemelesetan ekonomi melanda negara, sepatutnya Kerajaan Malaysia sudah matang untuk mula mengubah dasar serta membuang kebergantungan kepada USD. Satu bentuk medium yang kukuh seperti emas perlu diwujudkan bagi menstabilkan Ringgit Malaysia dan mampu berdiri dengan sendiri. Dengan ini kita dapat menjadikan Ringgit Malaysia sebagai satu bahasa utama yang baru dalam transaksi perdagangan dunia.


Cadangan berubah kepada Dinar Emas merupakan permulaan yang baik. Walaupun idea Dinar Emas ini telah mula diperkenalkan sebelum tahun 2000 lagi. Namun langkah kearah penggunaannya belum menampakkan hasil. Kerana kurang keyakinan dikalangan negara-negara rantau asia. Kebanyakan negara bimbang tentang kestabilan Dinar Emas.


Untuk lebih lanjut:

Wednesday, November 12, 2008

Politik Malaysia : Puhh Kanan Puhh Kiri

Nak cerita, takut mengarut pula bunyinya!. Takkan lah ada lagi benda-benda macam ni di zaman serba moden ni. Tapi bila dah berlaku depan mata dan terkena pada rakan sendiri baru lah nak percaya. Rasanya perkara macam ini ramai yang biasa dengar atau mungkin pernah berlaku pada diri sendiri.

Manderem! atau "guna-guna" atau ''buatan orang" atau "sihir". Bukan hendak jadikan blog ini ruangan mastika atau variasari. Ramai juga berpendapat tak perlu lah cerita macam ni, sebab dalam tv pun dah ada Expose dan Misteri Nusantara. Tapi mereka tak cerita tentang hubungkait dengan ahli politik di Malaysia. Jeng jeng jeng!.

Dari dulu lagi benda macam ini telah menjadi amalan tidak kiralah apa jua pangkat, kedudukan, bangsa dan agama di negara kita ini. Yang panasnya sekarang, perkara ini semakin menjadi bualan apabila menjelang Pemilihan UMNO. Percaya atau tidak, ada dikalangan Parti Kerajaan dan Parti Pembangkang yang mengamalkan benda begini!. Kalau yang tak mengamal tu baguslah. Ya lah, Rasulullah dah tinggalkan kita Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan lengkap dalam hidup jadi buat apa nak ikut panduan lain pula. Saya tahu bukan semua bomoh, pawang dan pengamal ilmu batin ini membelakangkan agama Islam. Tapi kebanyakannya macam mana? Cuba nilai sendiri!

Bagi yang ikut panduan lain ni tujuannya pelbagai, apa yang saya nampak ia sama ada untuk diri sendiri atau dikenakan kepada orang lain. Rasanya pembaca sudah boleh mengagak maksud saya. Kini nampak gayanya bomoh-bomoh, pawang dan pakar pengamal ilmu kebatinan semakin mendapat sambutan lebih-lebih lagi menjelang pemilihan. Ada yang mengenakan pengeras yang tinggi untuk perkhidmatan mereka. Kita pun boleh jadi keras (mati terkejut) kalau dengar harganya. Tapi kalau dah terdesak harga tak menjadi masalah. Janji mereka dapat apa yang dihajati.

Ada dikalangan ahli politik mengambil khidmat bomoh atau pengamal ilmu batin bagi membantu karier politik mereka. Apa ke halnya ahli politik merujuk pak moh? Mungkin boleh nasihat untuk pulihkan ekonomi negara kot? Tak pun Manderem negara luar supaya datang melabur di Malaysia. Pak moh ni manusia seperti kita juga. Rakyat biasa macam kita. Tapi ahli politik merujuk seperti mereka ini pakar ekonomi dan pakar politik.

Yang diketahui setakat ini ada individu terdiri dari ahli politik merujuk pak moh ni untuk minta pendinding! Ni bukan dinding simen dan batu. Nak terangkan takut tersilap, cuba pahamkan sendiri, sebab perkara ghaib begini memang tiada penjelasan melalui sains dan teknologi. Kena alami sendiri. Saya paham kalau anda berasa begini "Nak percaya? susah! Tak percaya ? Tak boleh!". Berserahlah pada Allah swt itu yang sebaik-baiknya.

Mereka yang minta pendinding ni selalunya sebab nak elak terkena buatan orang. Kesimpulanya, mereka ini minta pendinding dari pak moh supaya elak terkena buat atau guna-guna yang sememangnya datang dari pak moh yang lain. Tengok! pusing-pusing kat situ juga?
Kes lain pula ada juga ahli politik minta tolong pak moh ni supaya mereka menang! Tak pun kekal jawatan tertinggi dalam parti! Tak pun supaya dia menjadi pilihan majoriti!

Ada juga menggunakan khidmat pak moh untuk mengenakan atau menjatuhkan orang lain.
Sememangnya ada manusia yang berhati busuk macam ni. Bukan apa dah rasa diri tak boleh menang, mula lah berkiblatkan kesesatan untuk menjatuhkan lawan. Ada yang menggunakan tangkal, menghantar makhluk halus dan macam-macam lagi, yang penting lawannya tunduk atau mengalah. Tapi kebanyakan lawan pula dah fikir dulu juga. Mereka pun dah siapkan diri dengan pendinding mereka. Pelbagai cara dan amalan dilaksanakan bagi menjadi pendinding diri. Ada juga melalui objek-objek yang dikatakan mempunyai tenaga mistik yang bertujuan melindungi si pemakainya. Wuallahhualam!


Inilah refleksi senario politik Malaysia yang tidak kelihatan. Satu sudut yang sememangnya sudah lama bertapak di negara kita cuma ianya seakan-akan ghaib. Saya tak kata ia dikalangan melayu sahaja, semua bangsa mengamalkannya.

Jangan pula akan datang ada Menteri Bomoh dalam kabinet Malaysia sudahlah. Pilihanraya seterusnya nanti bila memandang muka calon pada kertas undi anda. Fikir sejenak, nak Pangkah Parti Kerajaan ke Parti Pembangkang. Anda gengam erat-erat kertas undi tu lepas tu anda
Puhh Kanan- Puhh Kiri. Manalah tahu kot-kot cara ni berkesan nak pilih pemimpin anda. Selamat mencuba!