Friday, November 28, 2008

Fatwa Di Perlekeh Si Selekeh


Tertarik apabila membaca di dada akhbar, media elektronik dan artikel-artikel bloggers mengenai isu yoga. Ini bermula apabila Majlis Fatwa Kebangsaan yang terdiri dikalangan pakar-pakar ilmuan perundangan dan hukum Islam telah sebulat suara menyatakan amalan YOGA itu haram. Tapi dengan pantas pula di bidas oleh segelintir NGO yang tidak mengkaji mendalam tentang apa itu FATWA serta tujuannya.

Paling asas yang perlu diketahui adalah Fatwa dikeluarkan untuk Umat ISLAM. Mengapa sekarang kita lihat apabila fatwa dikeluarkan, ada pula bukan Islam yang melatah dan membantah. Seperti isu Pengkid sebelum ini, segelintir bukan Islam telah melakukan demonstrasi memprotes Fatwa pengharaman Pengkid. Kita umat Islam yang melihat pun merasa hairan, apa pasal dia orang pula melebih-lebih. Kemungkinan besar mereka kurang faham erti fatwa ini.

Di Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) perlu melalui satu proses yang panjang sebelum Fatwa dikeluarkan. Ia bukan semudah dengan hanya "lat-ta-li-lat" , "one 2 jus" atau "ku-chi-pak" untuk memutuskan sesatu fatwa. Kalau semudah itu, saya akan paham mengapa orang akan mempertikaikan keputusan MFK.

Proses mengeluarkan fatwa bermula, apabila timbul sesuatu isu baru yang menimbulkan keraguan mengenai hukumnya di dalam Islam. Keraguan dari segi hukum halal, haram, wajib, harus dan sunat tentang sesuatu perkara. Maka perbincangan lanjut bagi menghuraikan perkara tersebut harus dilaksanakan.

Peringkat awalnya Jabatan Mufti negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bermusyawarah (bermesyuarat) bagi memperbincangkan isu baru yang telah dibangkitkan. Dalam perbincangan tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa akan mengundang para ilmuan cendekiawan dan pakar-pakar bagi mencari penyelesaian. Malah di dalam Jawatankuasa fatwa itu sendiri, adalah terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang merupakan pelapis untuk di masa akan datang.

Sebagai contoh baru-baru ini mengenai isu yoga, MFK telah berbincang selama 2 hari. Saya difahamkan, itu adalah hari perbincangan rasmi. Sebelum bermulanya perbincangan rasmi tersebut. Mereka yang terdiri dari pada para ulama , ilmuan dan cendekiawan telah berbincang serta mentelaah terlebih dahulu bagi mengumpul bahan-bahan kajian mengenai yoga dan impak terhadap umat Islam dari sudut Sunnah dan Al-Quran. Dalil-dalil dan nas juga akan disertakan bagi menyokong hujahan mereka nanti. Semua ini penting bagi menyiapkan diri dari semua aspek supaya dapat memahami intipati perbincangan itu nanti

Sekali lagi diingatkan bahawa barisan panel MFK ini terdiri daripada pakar-pakar perundangan dan ilmuan Islam. Mereka tidak datang berbincang dengan tangan dan hati yang kosong. Tidak sempurna perbincangan itu nanti jika isu yang dibangkitkan tidak difahami, dialami dan diteliti mengikut sudut Al-Quran dan Sunnah. Ini bukan perbincangan seperti ala kedai kopi yang penuh dengan gurau senda atau gelak tawa. Ini mengenai hukum-hakam bagi mencari jawapan kepada isu-isu baru.


Gambar rajah dibawah adalah proses-proses dalam mengeluarkan sesuatu fatwa.


Yang sedihnya ada juga NGO dan individu yang mempertikaikan fatwa pengharaman yoga ini. Tiba-tiba ramai pula ahli perniagaan, doktor dan lain-lain muncul sebagai pakar dalam Agama Islam. Menyatakan MFK telah silap menghuraikan isu yoga. Mulalah membuka kitab menyuarakan dalil-dalil dan nas bagi mempertahankan kedudukan mereka. Ramai pula 'ulama baru' lahir dalam menentukan fatwa yoga ini.

Sememangnya MFK yang terdiri daripada para ulama, ahli kitab, cendekiawan dan ilmuan ini telah mengkaji seluruh aspek Islam lebih mendalam daripada kamu yang sedang membaca ini. Tetapi masih juga diperlekehkan oleh mereka yang cetek dan selekeh keperibadiannya. Mereka yang hanya bersuara menampakkan pangkat dan darjat luaran namun hakikatnya selekeh iman dan amalan.

Kepada umat Islam yang membantah janganlah kita melihat dari satu sudut sahaja. Fahami dan selami kenapa fatwa ini dikeluarkan. Saya dapati majoriti yang bersuara menghentam MFK ini tidak mencari penjelasan terperinci mengenainya. Hukum Islam ini bukan boleh dibuat mengikut andaian sahaja dalam menentukan Halal dan Haram. Sekadar logik atau 'common sense' juga tidak memadai. Jika ragu-ragu merujuklah kepada yang lebih arif.

Kepada bukan Islam, diharap tidak lagi secara membuta tuli menghentam dan memprotes tanpa usul periksa. Kerana ini isu agama Islam, isu yang sensitif. Terutama mengenai Fatwa yang saya lihat ada yang membantah, walhal tidak tahu apa itu Fatwa.

Sekarang timbul pula kekeliruan didalam fatwa pengharaman yoga ini. Mengikut kefahaman saya, MFK telah mengharamkan yoga secara keseluruhannya. Tapi dikalangan pemimpin pula ada mengatakan tidak haram jika tiada unsur pemujaan hindu dan bacaan mantera dilakukan. Dua pendapat berbeza ini mengelirukan masyarakat Islam. Diharap MFK dapat memperincikan lagi mengenai fatwa ini. Supaya kesepakatan diantara MFK dan pemimpin dapat dicapai.

Lebih lanjut:

http://demoloni.wordpress.com/2008/11/26/fatwa-pengharaman-yoga-dipertikai-salah-siapa/


**segala pandangan dan pembetulan dalam artikel ini adalah amat dialu-alukan**

No comments: