Tuesday, December 2, 2008

Minyak: Nak Lantai ke Nak Apung?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad mencadangkan supaya kerajaan menggunakan mekanisme ‘pengapungan terurus’ untuk menentukan harga minyak kerana ia dianggap kaedah terbaik buat masa ini jika dibandingkan dengan penggunaan mekanisme harga lantai dan harga siling.

Mekanisme ini dicadangkan ekoran penurunan mendadak harga komoditi itu di pasaran dunia. Penurunan yang begitu signifikan memerlukan satu mekanisme jelas di mana kerajaan boleh menentukan agar adanya perubahan harga di peringkat runcit secara teratur dan terurus. Tetapi jika kita menggunakan mekanisme pengapungan terurus bagi harga minyak bermakna, kita akan berpandukan harga purata pasaran, dan timbul pula soal subsidi. Tetapi bagaimana subsidi itu akan ditentukan?

Apakah jika harga minyak menjadi begitu rendah dan memungkinkan kerajaan tidak perlu memberikan subsidi lagi? Atau adakah kerajaan akan terus mengambil sebahagian daripadanya sebagai pendapatan sebagai langkah menghadapi krisis kewangan dunia sekarang?





Subsidi?



"Pengapungan terurus" ini merujuk kepada mekanisme bagi mengukuhkan nilai komoditi berdasarkan harga purata pasaran. Kita ambil contoh, jika harga runcit komersial (harga yang patut dijual sekarang) petrol RM1.60 seliter dilaksanakan serta merta, ia boleh menambahkan hutang serta membantutkan ekonomi negara.

Disini kita katakan kerajaan mengadaptasi mekanisme "Harga Pengapungan Terurus" sebanyak *20% atau *30% bagi mengukuhkan harga minyak. Jadi dengan mekanisme ini harga petrol RM1.60 itu tadi akan mengukuh kepada RM1.92 atau RM2.08 seliter. Jika petrol Malaysia RM1.70, maka dengan mekanisme 'pengapungan terurus’, harga petrol menjadi RM2.04 atau RM2.21 seliter. Ia seperti melawan arus, menolak kejatuhan harga pasaran bagi meningkatkan nilai minyak. Tapi sebenarnya ia seperti satu tempoh masa untuk menyesuaikan negara kepada harga pasaran.

**Nilai peratus (%) merupakan pembolehubah, ia berdasarkan harga purata pasaran. Ia dikatakan terurus kerana perlu mengikut beberapa faktor lain bagi meminimumkan kerugian dan tidak membebankan rakyat.

Mekanisme ini telah pun digunapakai untuk mengawal nilai matawang Malaysia bagi menggantikan "Tambatan Ringgit". Tujuannya tetap sama seperti "Tambatan Ringgit" iaitu mengawal nilai Ringgit dari terus menjadi lemah berbanding Dolar Amerika. Bezanya ialah nilai "Tambatan Ringgit" mengekalkan nilai tukaran USD1 bersamaan RM3.50. Manakala "Pengapungan Terurus" ini nilainya berubah-ubah mengikut nilai purata pasaran (USD1 = RM3.xx). Mungkin lebih tinggi atau rendah dari RM3.50.


Penggunaan mekanisme “harga lantai“ adalah bertujuan untuk mengawal harga runcit minyak yang semakin lemah di dalam pasaran daripada terus jatuh. Ini bermakna satu harga minimum akan ditetapkan bagi komoditi tersebut. Sebagai contoh berdasarkan pasaran dunia, harga petrol Malaysia sekarang sepatutnya dijual pada harga RM1.60. Jadi bagi mengawal aliran tunai dan mengelak kerugian yang berpanjangan, kerajaan akan meletakkan harga lantai RM1.80 seliter. Jadi bagaimana rendah pun harga pasaran minyak dunia sama ada RM1.60 atau RM1.30. Harga jualan minyak Malaysia tetap pada kadar RM1.80 seliter.

Kesimpulannya "Harga Pengapungan Terurus" mengambil kira nilai purata harga pasaran dan ia berubah-ubah mengikut naik turunnya pasaran. Memandangkan ia mengambil nilai purata, maka ia boleh dianggap satu situasi "win win solution" di mana rakyat tak untung banyak dan kerajaan tak rugi teruk, atau rakyat tak rugi teruk dan kerajaan tak untung banyak. Anda tentukanlah yang mana satu?

Ini kerana jika kita kaji “harga siling”, ia sememangnya lebih menguntungkan pengguna kerana harga tidak akan melonjak naik walaupun harga pasaran minyak tinggi. Pada “Harga lantai” pula dilihat menguntungkan kerajaan kerana produk tidak boleh dijual lebih rendah dari harga minimum yang telah ditetapkan walaupun harga pasaran jatuh.

Seperti kita sedia maklum, minyak adalah penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan negara. Kejatuhan harga minyak dunia telah menyebabkan pendapatan negara menguncup. Kurangnya pendapatan bererti kurangnya suntikan modal untuk meningkatkan aliran tunai dalam negara serta kurangnya dana-dana untuk membangunkan infrastruktur dan ekonomi negara.

Jadi penggunaan salah satu mekanisme ini penting bagi mengawal kerugian yang lebih parah berlaku kepada Malaysia. Supaya kita tidak menjadi seperti Iceland iaitu negara pertama diisytiharkan MUFLIS! Semua urusan perbankan dibekukan, ekoran daripada itu rakyat Iceland tidak boleh melakukan apa-apa transaksi jual beli atau perdagangan.

Nak minyak 'E' ke ekonomi 'E'?

Diharap kerajaan lebih telus menyatakan sebab musabab mengapa dan bagaimana mekanisme tersebut harus di jalankan. Kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui mekanisma harga yang mana sesuai sama ada Di Lantai ke Di Apung.


**segala pandangan dan pembetulan dalam artikel ini adalah amat dialu-alukan**

No comments: