- Tertarik untuk berkongsi apabila terbaca satu ruangan mengenai harga pasaran dunia minyak. Semalam sahaja harga minyak turun sehingga USD101 setong. Iaitu paras yang jauh berbeza dengan harga minyak asal sebelum ia naik seperti sekarang ini. Sebelum minyak naik mendadak sebanyak 70 sen harga asalnya adalah RM1.92 seliter. Pada ketika itu harga minyak berlegar sekitar USD125 setong.
- Selepas itu harga pasaran minyak dunia tidak menentu hingga meningkat ke paras tertinggi USD143. Keadaan itu telah mendesak kerajaan untuk menaikkan harga minyak negara kepada RM2.70 seliter.
- Selepas sebulan, harga minyak dunia turun kembali dan kerajaan mengambil inisiatif menurunkan 15 sen menjadi RM2.55. Tapi kini harga minyak turun lagi ke paras USD105 setong, namun belum menampakkan harga minyak negara akan ikut turun.
- Bukan untuk menghentam sesiapa. Tapi apa yang dinyatakan pada 3 perenggan pertama tadi adalah dari sudut pandangan pengguna. Rata-rata pengguna yang berpendapatan rendahlah yang terasa bebannya apabila kenaikan yang mendadak ini. Kerana minyak ini umpama raja domino kepada harga barangan di seluruh negara. Memang tidak dapat disangkal lagi apabila minyak naik barangan yang bergantung kepadanya akan terkena tempias juga.
- Kadangkala ada yang tertanya-tanya kenapa barangan yang tiada kaitan dengan minyak turut ikut naik. Pernah di gerai, tersenyum sinis apabila terdengar ada pelanggan yang mengadu kepada tuan empunya kedai yang harga makanan terlalu mahal. Kalau sebelum itu minuman dan makanan adalah RM1.00 dan RM3.00. Kini ia meningkat menjadi RM1.40 dan RM4.00. Tapi tuan kedai dengan selamba menjawab harga minyak naik!. Pelanggan tadi pun menjawab balik "APA!..MASAK GUNA PETROL KE?".
- Yang kita alami sekarang ini kebanyakannya adalah kenaikan harga barang secara tidak langsung. Apa yang kita perlu ketahui adalah fasa pengeluaran barangan itu dari perkara paling asas iaitu dari fasa bahan mentah hinggalah ke fasa barangan siap untuk diedar atau dijual. Jika difikirkan setiap fasa pemprosesan barangan pasti ada kaitan dengan minyak. Paling mudah dikaitkan adalah pengangkutan, iaitu untuk mengangkut bahan mentah atau menghantar barangan siap.
- Jadi apabila kita hendak membeli botol susu untuk anak kita, cuba kita fikirkan cara ia dihasilkan. Kebiasaannya botol susu sekarang semua diperbuat daripada plastik, bahan asas untuk membuat botol tersebut adalah polycarbonate yang mana ia hanya boleh diperolehi daripada petroleum. Penghantaran bahan mentah polycarbonate tersebut ke kilang untuk diproses juga menggunakan pengangkutan yang mana sememangnya berasaskan minyak. Selepas penghasilan produk lengkap, penghantaran ke kedai-kedai pula perlu dilakukan. Secara amnya semua barang-barangan pasti ada hubungkaitnya dengan minyak sama ada secara langsung atau tidak.
- Rasanya setakat ini masalah dinyatakan dari sudut pengguna sahaja. Sebenarnya raja domino ini telah mendatangkan kesan perubahan secara tidak langsung kepada pola politik dan ekonomi negara. Segalanya terlalu jelas sekarang dimana rakyat mula inginkan perubahan dan pembaharuan.
- Rakyat kini disuap dengan pembaharuan melalui bajet setiap tahun. Subsidi ini subsidi itu. Elaun ini elaun itu. Bonus ini bonus itu. Kurangkan cukai ini cukai itu dan bermacam-macam lagi demi rakyat. Itu yang diperkatakan dan itu yang majoriti rakyat suka dengar. Semua ini memang baik, tapi adakah strategi seperti ini boleh terus menerus di adaptasi dalam pemerintahan negara. Hakikatnya apa akan terjadi 2-3 tahun lagi, itu pun kalau lepas setahun sudah cukup baik.
- Apa langkah kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Raja Domino ini.
- .....bersambung
Menganalisis isu-isu semasa melalui pengalaman, bahan bacaan, dan perbincangan intelektual. Segala komen dan kritikan yang membina dialu-alukan bagi memperbaiki mutu kandungan blog ini. Komen-komen yang mencarut dan melampaui batas tidak akan di layan.
No comments:
Post a Comment