Walaupun puasa sudah masuk hari ke sembilan. Saya rasa masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat berpuasa kepada kaum muslimin di seluruh dunia dan Malaysia am nya. Sudah menjadi kewajipan bagi muslim yang berakal dan berkemampuan untuk menunaikan rukun islam ketiga ini.
Seperti tahun-tahun sudah ramadhan kali ini agak hambar kerana dibayangi dengan situasi politik dan ekonomi negara yang agak kusam. Walaupun kita cuba untuk kusyuk menghayati bulan yang mulia ini. Namun seakan-akan ada sahaja suara jahat membisik dihati membuatkan kita resah risau dan merenung.
Keadaan politik dan ekonomi Malaysia secara umumnya tampak goyah seperti sibumbung yang disokong oleh sitiang yang rapuh. Manakala silantai, hanya mampu terkebil-kebil melihat kelibat beratus sitiang yang gah berdiri tinggi .Pabila hujan sitiang kaku membiarkan saja titis-titis air tembusi satu lubang sibumbung. Besoknya tiga lubang, sitiang kaku. Lusa delapan lubang, sitiang kaku juga!. Tulat jadi empat puluh lubang , sitiang masih kaku!!. Semakin banyak lubang, air yang tadinya titis menjadi bah lencunkan silantai.
Silantai yang mulanya bersih jadi lembab dan berlumut. Air bertakung mula mengeluarkan bau kurang menyenangkan. Ketika panas tiada bezanya. Sitiang tetap dengan megah seperti sudah buat segalanya, hakikatnya hanya kaku setempat dan lupa siapa diri yang sebenar.
Panas dan hujan silih berganti. Silantai semakin hari diselimuti lumut. Silumut pula menebal rata pada silantai, sampai hanya meninggalkan secebis ruang untuk silantai bernafas. Silumut memamah lantai hari ini. Sudah silantai!. Silumut ingin pula memamah sitiang. Sudah sitiang!. Silumut ingin pula memamah sibumbung.
Sampai waktu silantai yang lemas dalam silumut menjadi lembik untuk menampung sitiang. Sitiang dimamah silumut merekah reput untuk menampung sibumbung. Sibumbung yang dimamah lumut mula menampakkan retak menanti belah.
Silantai lembik terbelah masuk kedalam bumi. Sitiang reput yang bergantung pada silantai tersembam jatuh menyembah bumi. Sibumbung yang sememangnya perlu sitiang bederai jatuh bertaburan di atas silantai dan sitiang.
Apa yang ingin digambarkan bukanlah sebuah rumah yang usang. Tetapi rakyat (silantai), pemimpin (sitiang), kedaulatan negara (sibumbung) dan silumut (lu pikir lah sendiri)]
Jatuh bangun sesebuah negara terletak di tangan rakyatnya bukan pemimpin. Bila rakyat jatuh pemimpin akan ikut jatuh. Tapi kalau pemimpin jatuh belum tentu rakyat akan jatuh. Kenapa rakyat perlu ikut jatuh. Pilihlah pemimpin yang baru. Undilah dari puluhan rakyat Malaysia yang berkaliber untuk menjadi imam kepada makmumnya.
Pemimpin yang dipilih rakyat jangan hendaknya kerana populariti. Janganlah kerana terima duit segudang. Pilihlah pemimpin kerana kebolehannya, kerana kemampuannya, kerana kebijaksaaan dan kewibawaan. Kajilah mereka sebelum membuat keputusan untuk melantik mereka menjadi tiang kamu.
Jika tersalah pilih jangan tangguh terlalu lama untuk perbetulkannya. Perbetulkan guna pemikiran untuk lakukan perubahan. Jauhkan perbalahan keras yang mengundang bencana. Dari dulu lagi boleh kita lihat kekerasan belum tentu menjamin kemenangan. Tapi dengan pemikiran pasti boleh.
Pemimpin yang telah terpilih, teluslah dalam melaksanakan tugas. Jangan terlalu lama mengambil masa untuk bertindak. Jika masalah kecil dilewatkan lama-kelamaan menjadi besar. Pekalah terhadap sekeliling anda. Janganlah cepat melompat apabila dikritik. Kamu di pilih oleh rakyat menjadi wakil untuk rakyat bersuara dan mencurahkan pendapat. Ini bukan peluang untuk membuat nama, tapi ini adalah ruang untuk anda membantu rakyat. Kuasa pemerintahan diberikan oleh rakyat kepada anda. Bila-bila masa sahaja rakyat boleh mengambilnya kembali. Melainkan rakyat ingin terus kekal bacul diperintah oleh pimpinan yang jelas rosak dalam dan luar. Fikirkanlah, sekali lagi saya nyatakan gunakanlah pemikiran untuk lakukan perubahan. Hanya intelektual boleh menjamin kedaulatan negara terus terpelihara.
Kedaulatan negara adalah bumbung bagi setiap rakyat. Memang ada dan pasti ada orang asing menunggu peluang untuk mencipta helah menjajah tanah air kita yang tercinta. Menunggu kealpaan rakyat dalam perbalahan, kekabutan ekonomi dan propaganda menerusi media sehingga rakyat tersalah pilih tiang mereka.
Sekarang keadaan menjadi terlalu jelas sehingga tidak dapat lagi menutup keretakan sitiang. Jadi saya serahkan kepada rakyat untuk Selesaikan!!!
Selamat Berpuasa
No comments:
Post a Comment