Tuesday, February 17, 2009

Elizabeth Wong Mangsa Konspirasi BN?

Sidang media bertempat di "Biro Penerangan Pusat" Merchant Square, Tropicana telah merungkai segala persoalan yang menjadi bualan majoriti rakyat Malaysia. Isu yang menjadi paparan utama di dada akhbar-akhbar tempatan. Isu yang menjadi favorite para blogger untuk diselitkan ke dalam blog mereka.



"I'll continue to fight for justice!!"


Elizabeth Wong, ADUN Bukit Lanjan, hari ini mengumumkan perletakan jawatan, sebagai ADUN Bukit Lanjan dan Exco Kerajaan Negeri Selangor. Ingat nak scan press release asal dan upload dalam blog. Tapi Nan Naga terasa rajin nak terjemah. Baca Sejenak:
KENYATAAN MEDIA Elizabeth Wong
(diterjemahkan dari teks asal dalam Bahasa Inggeris).

Peristiwa yang berlaku sejak dua hari lalu telah menunjukkan usaha-usaha tersembunyi dan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu untuk memburukkan reputasi saya. Kehidupan peribadi dan hak bersendirian tanpa gangguan (privasi) saya telah dicabuli.

Golongan ini telah berkonspirasi untuk melemahkan kredibiliti saya sebagai Exco Negeri Selangor dan juga sebagai pemimpin Keadilan. Walaupun kempen yang ditujukan secara langsung kepada saya ini telah mengakibatkan saya tertekan, saya sedar bahawa objektif sebenar ialah untuk mencemarkan nama baik Parti Keadilan Rakyat.

Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak malu dengan keseksualan saya sebagai seorang wanita bujang. Saya tidak melanggar sebarang undang-undangn. Saya berpegang teguh dengan prinsip demokrasi di mana setiap orang mempunyai hak untuk bersendirian tanpa gangguan.

Parti Keadilan Rakyat berpegang kepada politik “baru” yang meletakkan keadilan dan hak asasi manusia sebagai nilai utama, tanpa mengira jantina, etnik dan kasta. Politik “baru” juga bermakna kita akan bangkit mengatasi politik “longkang” (gutter politics).

Oleh kerana itu saya percaya semua serangan ini akan berterusan berlaku, malah lebih dahsyat, dan saya yakin UMNO dan Barisan Nasional akan terus memanupulasi situasi ini. Oleh yang demikian, saya telahpun mengambil keputusan, demi kepentingan dan perjuangan parti, serta untuk rakyat.

Saya menerima sokongan padu daripada keluarga, pengundi, rakan-rakan Pakatan Rakyat, sahabat dan orang awam. Bagaimanapun, demi kepentingan parti, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga ADUN Bukit Lanjan.

Saya akan berbincang dengan Menteri Besar mengenai perkara ini untuk mengaturkan penyerahan rasmi tugasan saya. Saya akan terus berbakti kepada rakyat dan berjuang untuk keadilan di Malaysia.

Akhir sekali, saya amat menghargai orang ramai yang telah meletakkan kepercayaan kepada saya dan parti, dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat. Kata-kata tidak dapat menggambarkan rasa terhutang budi rasa kepada pekerja dan rakan-rakan ADUN, terutama sekali Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi, serta memberi peluang kepada saya bekerja dengannya.

Sekiranya saya telah mengecewakan atau menyinggung perasaan sesiapa, saya memohon maaf.

ELIZABETH WONG
ADUN BUKIT LANJAN
EXCO Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar

No comments: