Thursday, December 4, 2008

Janakuasa Nuklear di Malaysia?

Kerajaan Malaysia sedang membincangkan kemungkinan membina reaktor nuklear bagi tujuan penjanaan elektrik. Adakah ini perkara baik atau buruk bagi kita? Sebelum anda memberi jawapannya. Mari kita sama-sama huraikan dengan lebih terperinci mengenainya.

Janakuasa Nuklear

Untuk pengetahuan semua, teknologi nuklear ini bukanlah satu perkara yang asing bagi negara kita. Kerana Malaysia sudah pun mempunyai reaktor sendiri yang dikenali sebagai Reaktor Triga Puspati (RTP). RTP mula beroperasi pada tahun 1982 dibina bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan yang memfokuskan kepada perubatan, pertanian serta kajian neutron.

Agensi Nuklear Malaysia (Malaysia Nuclear Agency) telah memainkan peranan menguruskan kemudahan reaktor nuklear ini. Selain daripada RTP, terdapat beberapa pusat penyelidikan seperti Sinagama, Alurtron, Raymintex dan lain-lain yang turut diuruskan oleh Agensi Nuklear Malaysia. Saya diberitahu bahawa seramai 40 pakar penyelidikkan (kesemuanya PHD) yang menjadi tulang belakang menggerakan Agensi Nuklear Malaysia. Untuk lebih lanjut boleh klik sini.

Secara umumnya sumber tenaga elektrik di Malaysia dijana oleh beberapa empangan di semenanjung Malaysia. Di sini kita akan lihat analisis dan fakta dua empangan terkenal iaitu Empangan Temenggor dan Empangan Kenyir.

Empangan Temenggor yang terletak di Gerik, Perak mula dibina pada tahun 1967 dan siap pada tahun 1972. Empangan yang menelan belanja RM352juta ini mempunyai 4 buah turbin. Dimana setiap turbin boleh menjana 87 MW, maka sejumlah 384 MW kapasiti elektrik mampu dihasilkan. Setelah dipenuhi air, empangan ini mempunyai keluasan 152 km persegi.

Empangan Kenyir atau Stesen Kuasa Sultan Mahmud yang terletak di Terengganu pula merupakan empangan terbesar di Malaysia. Ia mula dibina pada tahun 1978 dan siap pada tahun 1986. Empangan ini juga mempunyai 4 buah turbin, dimana setiap turbin mampu menjana 100MW yang menyumbang sejumlah 400MW kapasiti elektrik. Keluasan empangan ini meliputi 370 km persegi, iaitu cukup untuk menenggelamkan Kuala Lumpur atau Shah Alam yang masing-masing berkeluasan 244 dan 290 km persegi.

Kedua-dua empangan ini jelas menunjukkan, bahawa pembinaannya memerlukan ruang tanah yang luas iaitu lebih daripada 100km persegi. Dalam proses pembinaan empangan ini berpuluh buah kampung terpaksa dipindahkan ke penempatan baru. Khazanah hutan yang terdiri daripada pokok yang berusia ratusan tahun juga terpaksa dikorbankan.


Khazanah Negara

Dalam analisis reaktor nuklear, saya mengambil contoh Pusat Janakuasa Nuklear di Ikata, Jepun. Pusat ini mempunyai 3 buah reaktor, dimana minimum kapasiti elektrik yang mampu dihasilkan setiap reaktor adalah sebanyak 566MW dan maksimum kapasitinya adalah 890 MW! Jika 3 reaktor ini berjalan serentak, sejumlah 2,022MW mampu dihasilkan di satu lokasi sahaja. Pusat janakuasa Ikata juga dibina di tapak yang berkeluasan kurang dari 18 km persegi! Ianya hampir sama dengan keluasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur (iaitu 16.25 km persegi).


Janakuasa Nuklear Ikata

Dapat dirumuskan bahawa, dengan gabungan dua Empangan Kenyir dan Temenggor masih tidak dapat menandingi keupayaan satu Pusat Janakuasa Nuklear Ikata. Jika dihitung, dua empangan tersebut hanya mampu menghasilkan 784 MW kapasiti elektrik, walaupun kesemua turbin dijalankan. Manakala keluasan tanah yang telah digunakan untuk membina dua empangan ini mencecah 520km persegi! Dua kali ganda KL.

Perbezaan yang ketara ini menunjukkan pembinaan empangan untuk menjana elektrik adalah tidak efisien sama sekali. Disini janakuasa nuklear dilihat relevan bagi meminimumkan penggunaan tanah disamping dapat menyelamatkan khazanah hutan yang tak ternilai harganya.

Akan datang Empangan Bakun di Sarawak yang dijangka siap 2012, dikatakan mempunyai kemampuan menjana 2400MW kapasiti elektrik. Tetapi pembinaan satu empangan ini sahaja memerlukan penggunaan tanah seluas 695 km persegi iaitu hampir sama dengan Singapura (707 km persegi).

Terdapat beberapa kebaikan lain jika teknologi janakuasa nuklear dijalankan di Malaysia. Antaranya ialah penghasilan tenaga elektrik janakuasa ini tidak melepaskan sisa bahan bakar atau beradioaktif ke udara berbanding dengan sistem janakuasa berasaskan arang batu dan diesel. Kos penyelenggaraan juga bertambah murah kerana tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada minyak dan arang batu. Tarif elektrik juga akan menjadi lebih murah dan ini baik bagi menarik pelabur masuk ke negara kita.

Jika Malaysia ingin membina pusat janakuasa nuklear, beberapa faktor perlu diambil kira. Paling penting ialah isu keselamatan. Majoriti rakyat tentu sudah memberi tanggapan negatif mengenai janakuasa nuklear ini. Perkara yang terlintas di kepala ialah kemalangan di Stesen Janakuasa Chernobyl, Rusia. Kemalangan tersebut telah menyebabkan bahan radioaktif terlepas ke udara sehingga merebak ke benua eropah. Kesan dari radioaktif tersebut telah menyebabkan mutasi serta banyak penyakit barah dilaporkan. Kemusnahan Chernobyl dipercayai berlaku kerana kelemahan senibina reaktor ketika itu.


Kemalangan Chernobyl

Faktor kedua ialah dimanakah lokasi yang dijangka sesuai untuk membina pusat janakuasa nuklear di Malaysia. Kalau di selidik reaktor nuklear di seluruh dunia, kebanyakannya dibina di pesisiran pantai. Saya dapati reaktor ini memerlukan jumlah air yang banyak sebagai agen penyejukan. Mungkin itu menjadi sebab mengapa ia dibina di tepi laut. Kita ambil contoh Reaktor Nuklear di Stellafield, Britain dimana maksimum air yang diperlukan sehari adalah 18,184.4 meter padu air bersamaan dengan 18,184,200 liter atau 568 buah lori tangki (lori kapasiti 32000 liter sebuah). Jadi disini pantai mana yang akan menjadi pilihan?


Proses Penjanaan Elektrik

Perkara seterusnya ialah dimanakah tempat sisa nuklear ini akan dilupus atau disimpan. Kerana sisa nuklear ini tidak terurai walaupun selepas 300 tahun malah ada yang mengesahkan ia boleh kekal sehingga 10,000 tahun. Walaupun ada kajian yang menyatakan bahawa sisa nuklear tersebut boleh diproses semula untuk digunakan namun ianya hanya 30% kejayaan. Mungkinkah Malaysia akan mengambil langkah seperti Amerika dimana Yucca Mountain dijadikan pusat simpanan sisa nuklear. Sehingga kini sebanyak 50,000 ton metrik sisa nuklear telah disimpan disana.



Yucca Mountain

Sekarang pun semakin banyak negara dunia ketiga turut serta membina janakuasa nuklear dan yang paling kontroversi ialah Iran. Presidennya Mahmoud Ahmadinejad berulang kali menegaskan bahawa nuklear di Iran adalah untuk tujuan keamanan dan penjanaan elektrik, namun tetap dinafikan sekeras-kerasnya oleh Amerika. Sedangkan Amerika sendiri telah mempunyai 101 buah reaktor janakuasa nuklear. Iran nak bina satu pun kecoh.

Berita dari negara jiran, Thailand pula telah melabur sejumlah USD6 billion untuk membina 4 reaktor janakuasa nuklear di negara mereka dan dijangka siap 2012. Setiap Janakuasa nuklear mereka dijangka mampu menghasilkan sejumlah 1000MW. Selain Thailand, beberapa negara lain seperti Vietnam, Indonesia dan Filipina telah pun mula membina pusat janakuasa nuklear untuk memenuhi keperluan di negara masing-masing.

Malaysia? Bila lagi? Anda sebagai rakyat boleh memutuskan sama ada, perlu atau tidak janakuasa nuklear di Malaysia. Sebab duit rakyatlah yang akan digunakan untuk membangunkan infrastruktur seperti empangan dan janakuasa nuklear. Anda Tentukan!!


Fakta menarik:
Janakuasa nuklear menggunakan uranium dalam bentuk isotop, dengan melakukan beberapa siri tindakbalas bagi menghasilkan haba yang banyak. Haba tersebut akan digunakan untuk memutarkan turbin bagi menghasilkan elektrik. Uranium merupakan salah satu unsur yang paling mudah dijumpai di tanah, pokok dan air. Antara negara yang menjadi pengeluar terbesar uranium ialah Kazakhstan, Australia dan Canada.


Lebih lanjut:
http://www.larouchepac.com/news/2007/06/14/thailand-investing-6-billion-cluster-nucl%20ear-power-plants.html
http://www.irrawaddy.org/article.php?art_id=7889
http://en.wikipedia.org/wiki/Ikata_Nuclear_Power_Plant

*Terima kasih kerana sudi membaca analisis ini. Segala idea dan pandangan amat di alu-alukan

3 comments:

shahpaskal said...

Terima Kasih kerana menyiarkan artikel ini, saya pernah mewancara ketua pengarah Institut Teknologi Nuklear Malaysia dahulu...beliau mengakui negara ini mempunyai kepakaran untuk membina generator nuklear sendiri tetapi apa yang sudah terjadi di Iran dikhuatiri akan mengundang masalah yang serupa ke atas negara ini

Nan Naga said...

Terima Kasih berkunjung ke blog Nan Naga.

Mengenai Iran, saya rasa ia berlaku kerana dasar politik yang diamalkan dan beberapa isu panas yang timbul antara Iran dengan Amerika-Israel.

Dengan bantuan media CNN, BBC, Reuters dll. Pelbagai propaganda negatif yang telah direka Amerika-Isreal bagi memberikan gambaran buruk terhadap Iran.

Jadi perkara ini mungkin akan berlaku jika Malaysia mengamalkan dasar yang serupa seperti Iran.
Tapi rasanya tidak.

............ said...

artikel yg sangat menarik... saya nak copypaste isinye.. tuk kajian sye.. mekasey :)