Saturday, December 6, 2008

Tanah Runtuh: Apa Dah Jadi?


Hari ini Bukit Antarabangsa digegarkan dengan kejadian tanah runtuh yang menimbus 14 buah banglo serta meragut nyawa. Setakat ini mangsa korban yang telah dikenalpasti ialah Shaiful Khas,20, N. Yogeswary,40, Ng Yee Peng,30, dan seorang warga Indonesia yang ber nama Surinah,30. Semua rakyat Malaysia turut merasa dukacita diatas kejadian ini dan takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang terkorban.


Seramai 93 mangsa yang terselamat rata-ratanya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa mereka. Walaupun kehilangan tempat tinggal, mereka tetap bersyukur kerana terselamat dari maut. Mereka turut terharu dan sedih kepada jiran tetangga yang ahli keluarganya masih tertimbus atau terkorban.


Pandangan Dari Udara Bukit Antarabangsa

Bimbangkan kejadian tanah runtuh susulan, 5000 penduduk terpaksa mengosongkan kediaman mereka dan diletakkan ke penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Ulu Kelang. Angkatan Tentera Malaysia dikerahkan membina laluan bagi melancarkan proses pemindahan.

Selain itu Jabatan Bomba, Palang Merah, Smart Team dan Polis juga terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. Anjing pengesan dan alat petunjuk (life detector) digunakan bagi mengesan serta mengenal pasti mangsa-mangsa yang masih terperangkap di bawah timbunan tanah.

Sebelum ini, pada tahun 1999 jalan utama ke Bukit Antarabangsa telah ditimbus oleh runtuhan tanah. Kejadian tersebut nyaris meragut nyawa seorang pemandu teksi yang sempat menyelamatkan diri apabila teksinya hampir terbenam dalam runtuhan tersebut.

Pada 24 Februari 2000, seorang kanak-kanak berumur 4 tahun terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Kg. Seri Damai berhampiran dengan Taman Kencana Ampang. Pada Syawal tahun yang sama, berlaku lagi tanah runtuh di Taman Saga,Ampang Jaya yang telah menutup laluan utama ke taman tersebut.

Pada 20 November 2002, Baglo di Taman Hillview milik Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Ismail Omar juga pengerusi Affin Bank musnah akibat tanah runtuh. Kejadian yang berlaku pada 4:35 pagi tersebut telah meragut nyawa isterinya Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua menantu, dua cucu dan dua pembantu rumahnya.

Paling buruk dalam sejarah Malaysia ialah kejadian Kondominium Highland Towers pada 11 Disember 1993 yang tumbang menyembah bumi. Keruntuhan Blok A yang setinggi 12 tingkat itu telah mengorbankan banyak nyawa dan pihak berkuasa mengesahkan penemuan 48 mayat dalam runtuhan tersebut. Pada 22 Disember 1993 operasi pencarian dihentikan!



Highland Towers



Sudah banyak kejadian tanah runtuh berlaku di sekitar Ampang Jaya sebelum ini, yang saya nyatakan tadi hanyalah sebahagian sahaja. Sepatutnya kerajaan, pihak berkuasa dan jurutera sudah peka dalam meningkatkan tahap keselamatan binaan dan sekitarnya. Aspek kajian geologi adalah perkara asas dan yang paling awal dilakukan sebelum struktur bangunan dibina. Tapi Apa Dah Jadi?!

Fakta Analsis:
Kesemua kejadian tanah runtuh berlaku, ketika hujan lebat yang turun berturut-turut selama beberapa hari! Hujan yang turun selama beberapa hari telah melemahkan struktur tanah serta turut mewujudkan aliran air bawah tanah.

Kejadian Highland Towers dikatakan berpunca kerana terdapat aliran air bawah tanah. Hari ini 7 Disember 2008, pihak berkuasa mengesahkan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa adalah disebabkan punca yang sama.

*Takziah kepada mangsa korban Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan bertafakur sejenak

No comments: